Pasti adik-adik semua tahu bahawa Al-Fatihah merupakan salah satu daripada bacaan dan rukun wajib solat. Maksudnya, wajib untuk setiap daripada kita membaca surah Al-Fatihah bagi menyempurnakan solat kita. Pernahkah adik-adik terfikir mengapa Allah SWT menjadikan ia sebagai surah wajib di dalam solat?

Nabi Muhammad SAW pernah bersabda yang bermaksud:
“Membaca Fatihah Al-Quran pahalanya seperti sepertiga Al-Quran”

 Di antara fadilat membaca Al-Fatihah ialah:
·         Boleh mengubati penyakit mata, sakit gigi, sakit perut dan lain-lain penyakit jika diamalkan bacaannya sebanyak 41 kali.
·         Sesiapa mengamalkan bacaan Al-Fatihah sebanyak 20 kali setiap selesai solat fardu lima waktu, maka Allah SWT luaskan rezekinya, baiki  akhlaknya, mudahkan urusannya, terlindung daripada segala kesulitan dan sebagainya.
·         Sesiapa berhajat (berkeinginan sesuatu) kepada Allah SWT, maka bacalah surah Al-Fatihah sebanyak 41 kali di antara solat sunat subuh dan solat fardu subuh sehingga 40 hari, dan pohonlah kepada Allah SWT. InsyaAllah dipenuhi hajat itu. 
·         Jika amalkan bacaan Al-Fatihah sebanyak 125 kali selepas selesai solat subuh, akan ditemui apa yang dicari-carinya. Seeloknya disertakan dengan doa yang bermaksud:

“ Ya Allah, sesungguhnya aku memohon kepada-Mu dengan kebenaran Surah Al-Fatihah dan rahsianya, supaya dipermudahkan bagiku semua urusanku, sama ada urusan dunia atau urusan akhirat, supaya dimakbulkan permohonan dan ditunaikan hajatku….”

Sabda Nabi Muhammad SAW:
"Barangsiapa yang ingin menyembuhkan kelemahan pandangannya (kabur/rabun) maka hendaklah dilakukan:
·         Memandang bulan pada awal bulan, jika tidak kelihatan atau terhalang oleh awan dan lain-lain hal, lakukan pada malam kedua, juga tidak dapat, cuba pada malam ketiga atau begitu seterusnya hingga nampak kelihatan bulan itu.
·         Apabila telah kelihatan, hendaklah ia menyapukan tangan kanannya ke mata dengan membaca Al-Fatihah sebanyak 10 kali.
·         Sesudah itu mengucapkan pula sebanyak 7 kali doa ini:
          "Al-Fatihah itu menjadi ubat tiap-tiap penyakit dengan rahmat Mu ya Tuhan yang pengasih penyayang."
·         Lalu mengucapkan "Yaa Rabbi" sebanyak 5 kali.
·         Terakhir mengucapkan pula doa ini sebanyak 1 kali:
           "Ya Allah sembuhkanlah, Engkaulah yang menyembuhkan, Ya Allah sihatkanlah, Engkaulah yang menyihatkan".

Bagaimana adik-adik? Banyak kelebihan yang kita dapat sekiranya mengamalkan surah ini. Rugilah sesiapa yang tidak mengamalkannya. Siapa yang sudah tahu kelebihan-kelebihan lain membaca Al-Fatihah ni, sudi-sudikanlah berkongsi dengan rakan yang lain. Jom kita sama-sama amalkan surah Al-Fatihah untuk mendapat kebaikan bersama. Insya-Allah…